Krisis kewangan TH boleh dielak jika amaran Bank Negara diambil tindakan

KRISIS  kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) boleh dielakkan sekiranya institusi itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap surat amaran berkaitan kedudukan kewangan, tahap rezab dan pengurusan kecairan TH yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sejak 2014.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata berdasarkan rekod,  BNM telah mengeluarkan lima surat amaran kepada Pengerusi TH dan Menteri yang bertanggungjawab antara Ogos 2014 hingga September 2016.

“Sekiranya amaran tersebut ditangani dengan sewajarnya sejak 2014, masalah kewangan TH berkemungkinan dapat dibendung lebih awal dan keperluan kerajaan menyelamatkan TH dapat dielakkan.

“Sebaliknya, kedudukan kewangan TH terus merosot sehingga defisit aset-liabilitinya melebar kepada kira-kira RM10 bilion pada akhir 2018 yang memerlukan bailout daripada kerajaan untuk mengelak krisis kewangan yang lebih besar,” katanya.

Zulkifli berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH di Dewan Rakyat, hari ini.

Zulkifli berkata perkara itu disokong apabila RCI juga berpendapat bahawa TH tidak sepatutnya diberi Sijil Audit Bersih, sebaliknya perkara-perkara yang dinyatakan sebagai “Emphasis of Matter” sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan (qualified opinion).

Untuk makluman, BNM sejajar dengan fungsinya melibatkan kestabilan kewangan, sentiasa memantau perkembangan dalam institusi kewangan bukan bank termasuk TH.

“Berdasarkan pemantauan dan perbincangan yang dijalankan, BNM dimaklumkan tentang langkah-langkah yang diambil mengenai isu yang dibangkitkan BNM. Bagaimanapun, secara hakikatnya dan telah terbukti, tindakan TH bermula pada 2014, tidak langsung menunjukkan amaran dan peringatan BNM diberi perhatian serius,” katanya.

Beliau berkata perkara itu turut melibatkan pengisytiharan dividen ketika aset kurang daripada liabiliti yang berlawanan dengan Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535] selain amalan pemberian hibah tidak berhemat dan tidak berpandukan kedudukan kewangan sebenar yang masih diteruskan hingga 2017.

Dalam penggulungannya, Zulkifli turut memberikan jaminan bahawa pindaan terhadap Akta 535 akan dilaksanakan segera bagi melengkapkan penambahbaikan tadbir urus yang telah dilaksana.

Selain itu, beliau berkata Forensic Auditing telah pun dijalankan terhadap pelaburan yang disenaraikan dalam laporan RCI.

“Cadangan mewujudkan Multi Agency Task Force untuk menyiasat setiap pelaburan yang berisiko kerugian disambut baik dan akan diteliti untuk pelaksanaan.

“Keseluruhannya, tindakan kerajaan adalah jelas, iaitu menyiasat, mengambil tindakan penguatkuasaan, memulihkan aset serta memperkukuh undang-undang dan tadbir urus bagi memastikan amanah serta kepentingan pendeposit TH terus dilindungi,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menzahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan RCI berkaitan TH yang bersidang di Dewan Rakyat selama lebih 10 jam, hari ini.

“Terima kasih Yang Berhormat … Dewan Rakyat bersidang secara tidak berhenti sejak pukul 10 pagi tadi dan menyaksikan 39 Ahli Parlimen telah mengambil bahagian. Kita juga telah mendengar dua menteri (menggulung), iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Menteri Kewangan II.

“Namun, kita tidak berhenti di sini kerana kita masih lagi ada Mesyuarat Ketiga yang akan berlangsung pada Oktober dan kita boleh terus bertanya sekiranya ada perkara yang kita rasa tidak jelas hari ini,” katanya.

Johari kemudiannya menangguhkan mesyuarat khas itu sehingga ke suatu tarikh yang tidak ditetapkan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here