MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan krisis politik di negeri itu merupakan suatu pengajaran kepada Pakatan Harapan (PH) supaya sentiasa tenang dan bersatu.
Menurut beliau, apa yang berlaku menjadi pengajaran kepada semua ahli supaya sentiasa tenang, sabar, lihat selain tidak bersikap gelabah.
Sambil mengakui beliau dan pimpinan PH terperanjat akan peristiwa itu.
“Saya berharap kepada semua ahli parti dan orang ‘atas pagar’ maklum perkara ini.
“Apa yang penting hari ini kita kena kuatkan jentera kita. Kita kena kuatkan saf kita termasuk Amanah, PKR, dan DAP. Dalam PH ini harus kita bersiap sedia di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Pimpinan PH di pekarangan Stadium Tunku Abdul Rahman, Seremban malam ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Aminuddin dalam pada itu turut menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya bersiap sedia menghadapi pilihan raya kerana mendakwa pihak tertentu masih tidak berpuas hati.
“Kenyataan demi kenyataan mereka keluarkan seolah-olah kita terpaksa menerima,” katanya.
Krisis politik di Negeri Sembilan tercetus selepas semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan mereka kepada Aminuddin kerana mendakwa hilang kepercayaan.
Kesemua ADUN berkenaan berkata, keputusan mereka berkait dengan krisis melibatkan empat Undang yang berusaha menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Hari ini, Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan krisis politik di Negeri Sembilan telah selesai susulan pertemuan antara kepimpinan tertinggi BN dan PH, semalam.
Fahmi turut mengumumkan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan akan terus berfungsi seperti biasa di bawah pimpinan Aminuddin.


