KUSKOP salur hampir RM1 bilion, perkasa 45,000 usahawan Sabah

SEBANYAK 45,000 usahawan dan koperasi di Sabah menerima manfaat pembiayaan hampir RM1 bilion yang disalurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sehingga September lalu bagi memperkukuh perniagaan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, kementerian menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan, meningkatkan kapasiti operasi dan menembusi pasaran lebih luas.

DATUK Mohamad Alamin berucap pada Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah 2026. GAMBAR: KUSKOP

“KUSKOP menyediakan pelbagai inisiatif untuk memastikan usahawan kita tidak kekal di tahap mikro, sebaliknya berupaya berkembang ke skala lebih besar,” katanya.

Selain pembiayaan, Mohamad berkata, KUSKOP turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur perniagaan, pendigitalan dan peluasan peluang pasaran bagi meningkatkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

SEKITAR program Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah 2026 yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober. GAMBAR: KUSKOP

Antara inisiatif dilaksanakan, katanya, adalah pembinaan 134 projek Tamu Desa di Sabah bagi tempoh 2024 hingga 2026, membabitkan peruntukan RM30.53 juta.

Menurut beliau, kemudahan itu bertujuan menyediakan ruang perniagaan lebih selesa, selamat dan kondusif kepada usahawan, khususnya di kawasan luar bandar, sekali gus menyokong perkembangan aktiviti ekonomi setempat.

Beliau berkata, usaha memperluas peluang perniagaan turut diteruskan menerusi Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah 2026 yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober ini, bertemakan Bikin Lokal Jadi Hebat, Usahawan Onsoiii.

Karnival berkenaan menyediakan platform kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk, membina jaringan perniagaan dan mendapatkan akses kepada pelbagai sokongan pembangunan keusahawanan.

Setakat semalam, kata Mohamad, program itu merekodkan kehadiran 35,000 pengunjung dengan nilai jualan produk usahawan melebihi RM263,000.

Selain itu, peluang padanan perniagaan bernilai sehingga RM999,000 membabitkan 47 usahawan turut membuka ruang kepada peserta meneroka kerjasama strategik dan pasaran baharu.

Dalam aspek pendigitalan, TikTok Shop selaku rakan strategik karnival menyokong usaha membantu PMKS memanfaatkan platform digital untuk memperluas capaian pelanggan serta meningkatkan potensi jualan.

Karnival itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Usahawan Sabah TikTok Shop sebagai pengiktirafan kepada usahawan tempatan yang berjaya menggunakan platform digital untuk mengembangkan perniagaan.

Secara keseluruhannya, gabungan pembiayaan, pembangunan infrastruktur, promosi produk dan sokongan pendigitalan menjadi antara pendekatan KUSKOP dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan Sabah.

Usaha berterusan itu diharap dapat membantu lebih ramai usahawan tempatan mengembangkan operasi, meningkatkan nilai produk serta membina perniagaan yang mampan dan berdaya saing, jelas beliau.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here