MCA dicabar guna logo sendiri tanding di kerusi tradisi – DAPSY

DAP mencabar MCA supaya bertanding menggunakan logo parti sendiri di kerusi tradisinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi membuktikan pendirian sebenar parti itu berhubung isu maruah dan pembahagian kerusi.

Setiausaha DAPSY, Lim Chun Weng berkata, cabaran itu dibuat susulan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang mahu partinya terus ‘hidup dengan maruah’.

Menurutnya, tindakan barisan kepimpinan MCA meninggalkan majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi PRN Melaka malam tadi sebagai tanda protes tidak memadai sekiranya parti itu akhirnya menerima keputusan pengagihan kerusi berkenaan.

“Jika MCA benar-benar merasakan BN tidak menghormatinya dan maruah MCA telah dipijak, maka jangan lagi bergantung kepada lambang dacing BN.

“Kalau benar ada maruah, gunakan logo MCA sendiri dan bertandinglah di kerusi tradisi MCA yang mahu diserahkan kepada PN.

“Jika akhirnya MCA tetap kembali bertanding di bawah panji BN dan menerima pembahagian kerusi tersebut, apa maknanya tindakan keluar beramai-ramai ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tindakan Ka Siong meninggalkan dewan ketika majlis pengumuman calon BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) malam tadi mencetuskan persoalan mengenai pendirian MCA berhubung pembahagian kerusi untuk PRN berkenaan.

Ka Siong turut difahamkan mengarahkan ahli MCA meninggalkan majlis itu ketika ia sedang berlangsung, dipercayai susulan ketidakpuasan hati terhadap keputusan memberikan kerusi yang sebelum ini ditandingi MCA kepada Perikatan Nasional (PN).

Chun Weng turut mempersoalkan dakwaan Ka Siong bahawa beliau tidak mengetahui lebih awal mengenai pengumuman calon pada majlis berkenaan.

“Pelbagai media telah melaporkan bahawa BN akan mengadakan perhimpunan dan mengumumkan calon.

“Tetapi Presiden MCA, yang juga merupakan pemimpin sebuah parti komponen BN, memberitahu seluruh negara bahawa beliau sendiri tidak tahu?.

“Jika media pun tahu, tetapi Presiden MCA sendiri tidak tahu, adakah ini bermakna BN langsung tidak lagi pentingkan MCA atau segala kejutan dan kemarahan yang dipamerkan itu sekadar lakonan untuk tontonan pengundi,” soalnya.

Beliau berkata, MCA tidak seharusnya terus meletakkan dirinya sebagai pihak yang teraniaya sekiranya akhirnya menerima keputusan BN untuk menyerahkan kerusi tradisinya kepada PN dan bertanding menggunakan logo gabungan itu.

“Maruah politik bukan sekadar keluar dari dewan selama 10 minit atau mengadakan sidang media di luar dewan dengan beberapa kenyataan keras.

“Maruah politik diuji apabila tiba saatnya untuk mempertahankan pendirian.

“Wee Ka Siong sendiri yang membangkitkan soal ‘maruah’. Maka buktikan kepada rakyat, gunakan logo MCA sendiri dan bertanding di kerusi tradisi MCA,” katanya.

Chun Weng menegaskan, tindakan MCA seterusnya akan menjadi ukuran sama ada bantahan yang ditunjukkan itu diterjemahkan kepada pendirian politik yang jelas atau sekadar bertujuan meraih simpati pengundi.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here