JABATAN Pendidikan Negeri Sembilan (JPN) sedang menyiasat dakwaan seorang remaja lelaki dipercayai pelajar sebuah sekolah di daerah Nilai mengambil bahan disyaki dadah dikenali sebagai ‘piu piu’.
Pengarahnya, Khalidah Omar berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan sebelum pihaknya mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.
Dakwaan berkenaan timbul selepas rakaman video memaparkan seorang remaja lelaki dalam keadaan membongkok, menundukkan kepala dan tidak bergerak tular menerusi aplikasi Threads.
Kapsyen video itu mendakwa remaja berkenaan merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil bahan dikenali sebagai ‘piu piu’.
Rakaman dipercayai dibuat di dalam sebuah kelas dengan beberapa remaja lelaki lain yang memakai pakaian seragam sekolah menengah turut dilihat merakam kejadian itu.
Perkongsian berkenaan mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial, termasuk yang meluahkan rasa terkejut serta mempersoalkan tindakan memuat naik rakaman terbabit.
Bagaimanapun, kesahihan dakwaan pengambilan bahan disyaki dadah itu serta lokasi sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan.





