Lagi kes premis diarah tutup di Johor pasang bendera terbalik

SEBUAH lagi premis perindustrian di Taman Perindustrian SILC di Iskandar Puteri, Johor diarah tutup selepas dikesan memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik, kejadian kedua dalam tempoh seminggu di negeri itu.

Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) memaklumkan, pihaknya bersama polis melakukan pemeriksaan di premis berkenaan selepas menerima aduan berhubung perkara itu dan segera mengambil tindakan.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, pemeriksaan mendapati pemilik premis telah memasang Jalur Gemilang dan bendera negeri Johor dalam kedudukan terbalik.

Tambah MBIP, pemilik premis kemudian diberikan amaran tegas serta diarahkan menurunkan dan membetulkan kedudukan kedua-dua bendera itu serta-merta.

“Namun, pemeriksaan lanjut mendapati premis terbabit turut tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah untuk beroperasi.

“Susulan itu, MBIP mengeluarkan notis henti niaga terhadap premis berkenaan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen, selain mengenakan kompaun kerana mempamerkan papan iklan tanpa lesen MBIP,” kata kenyataan dikeluarkan MBIP.

Tambahnya, premis itu mempunyai 14 pekerja, membabitkan dua warga tempatan dan 12 warga asing. Semua pekerja asing itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk pengesahan permit pekerjaan.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dalam satu hantaran di media sosial menggesa pihak berkuasa mengambil tidakan terhadap premis perindustrian di Taman Perindustrian SILC itu kerana memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik.

Katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas sekiranya hasil siasatan mendapati pemasangan bendera itu dilakukan dengan sengaja.

Pada Isnin lalu, sebuah premis perindustrian dalam kawasan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) ditutup sementara kerana memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor terbalik.

Susulan itu, seorang pegawal keselamatan warga Nepal dan wanita tempatan direman empat hari hingga 21 Ogos ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee dilaporkan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 5, Akta Lambang dan Nama (Mencegah penggunaan tidak wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 505b Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here