DUA penunggang motosikal parah selepas dirempuh sebuah kereta yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah dalam kejadian di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.27 pagi dan melibatkan sebuah kereta jenis Honda City serta dua motosikal Yamaha Y15ZR.
Menurutnya, kemalangan itu dikesan susulan penularan video di media sosial Threads pada jam 8.45 pagi, manakala laporan polis diterima pada jam 8 pagi hari sama.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua motosikal ditunggang lelaki tempatan berusia 24 dan 19 tahun sedang melintasi persimpangan dengan lampu isyarat hijau.
“Bagaimanapun, sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 25 tahun dari arah kanan dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kedua-dua motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Akibat kejadian itu, penunggang berusia 24 tahun mengalami putus kaki kiri, manakala seorang lagi mangsa berusia 19 tahun patah tangan kiri serta patah kaki kiri. Kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
Tambah beliau, pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan di tangan, manakala seorang penumpang turut cedera di bahagian kepala.
Beliau berkata, seorang saksi berusia 19 tahun tampil membuat laporan polis dan keterangannya telah dirakam bagi membantu siasatan.
Menurutnya, pemandu kereta berjaya ditahan kira-kira jam 1 tengah hari di sebuah klinik di Kundang, Rawang ketika mendapatkan rawatan.
“Hasil ujian alkohol mendapati pemandu tidak melebihi had ditetapkan, manakala ujian saringan air kencing sedang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


