SEORANG Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM135,000.
Tertuduh, Mohammad Nurhelmy Norman, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nuaman Mahmud Zuhudi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bahagian Dakwah JAIPs didakwa menggunakan dokumen tuntutan bayaran memeluk Islam yang mengandungi butiran palsu dengan niat memperdaya prinsipalnya.
Bagi pertuduhan pertama pada 2022, tertuduh didakwa memalsukan butiran bayaran RM3,500 bagi pendaftaran semula dua saudara baharu.
Pertuduhan kedua pada 2023 pula membabitkan tuntutan palsu RM40,000 melibatkan 15 saudara baharu, manakala pertuduhan ketiga pada 2024 membabitkan RM91,500 bagi 33 saudara baharu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Islam Perlis, JAIPs di Persiaran Jubli Emas, di sini.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Salwa Ja’afar.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000, namun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin selepas mempertimbangkan rayuan pihak pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Mei ini bagi serahan dokumen.


