Lapan warga Myanmar ditahan, senapang angin, daging hidupan liar dirampas

KEGIATAN disyaki memburu hidupan liar secara haram terbongkar apabila lapan warga Myanmar termasuk dua wanita ditahan dalam serbuan di sebuah ladang durian di Kampung Mia, Kota Bharu, awal pagi tadi.

Operasi Bersepadu Khazanah yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) itu turut menemukan pelbagai bahagian hidupan liar yang disyaki diperoleh secara haram.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, operasi hasil maklumat orang awam itu bermula pada jam 12 tengah malam dan berakhir kira-kira jam 6 pagi.

Menurutnya, pihak berkuasa turut menemukan seorang bayi lelaki dan seorang bayi perempuan bersama kumpulan warga asing berkenaan.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan selaras senapang angin dan dua lembing yang dipercayai digunakan bagi tujuan pemburuan haram.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan enam unit disyaki kuku hidupan liar, 12 unit disyaki taring hidupan liar, tujuh unit disyaki tulang hidupan liar, enam unit disyaki bahagian hidupan liar serta sebuah tong berisi daging yang dipercayai daripada hidupan liar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 7(1) Akta Larangan Mengenai Lambang dan Sebutan (AKLSB) 1958 serta Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Mazlan berkata, kejayaan operasi itu membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara polis dan PERHILITAN dalam membanteras kegiatan pemburuan haram serta pemilikan bahagian hidupan liar yang menyalahi undang-undang.

Menurutnya, maklumat yang disalurkan orang awam turut memainkan peranan penting dalam membantu pihak berkuasa mengesan aktiviti berkenaan.

“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kesalahan berkaitan hidupan liar.

“Kita juga menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan khazanah hidupan liar negara terus terpelihara,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img