SEORANG mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kekasihnya berusia 16 tahun di Lata Rek, Kuala Krai.
Mohamad Ikhmal Abd Fatah, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkipli Abllah, lapor Berita Harian.
Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa pada 14 dan 24 Januari, serta 14 Februari lalu antara jam 2 pagi hingga 11 malam di sebuah rumah di Kampung Lela Jasa, Sungai Rek, Kuala Krai.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana ia membabitkan tiga pertuduhan dan mangsa adalah kekasih tertuduh, selain mangsa dan tertuduh tinggal di daerah sama.
Peguam, Wan Amani Wan Azmin bagaimanapun memohon jaminan ditawarkan kerana anak guamnya berjanji tidak mengganggu mangsa dan saksi serta memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.
“Dalam kes ini anak guam saya berusia 28 tahun dan bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan RM1,500 sebulan selain perlu menjaga datuknya,” katanya.
Mahkamah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan selain tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi.
Mahkamah menetapkan 5 April sebagai tarikh sebutan semula kes.


