LAWATAN Lionel Messi ke India bermula dengan keadaan huru-hara semalam apabila penyokong mencabut tempat duduk dari tempat penonton dan membalingnya ke atas padang selepas bintang Argentina dan Inter Miami itu hanya membuat penampilan singkat di Stadium Salt Lake, Kolkata, menurut agensi berita ANI.
Messi berada di India sebagai sebahagian daripada jelajah yang merangkumi kemunculan di konsert, klinik bola sepak belia, kejohanan padel serta pelancaran inisiatif kebajikan. Acara-acara tersebut dijadualkan berlangsung di Kolkata, Hyderabad, Mumbai dan New Delhi.
Menurut laporan media India, pemenang Piala Dunia 2022 itu turun ke padang untuk menyapa para penyokong, namun dengan pantas dikerumuni oleh rombongan besar sebelum meninggalkan stadium hanya 20 minit selepas tiba.

Rakaman yang dikeluarkan oleh ANI menunjukkan penyokong membaling tempat duduk yang telah dicabut serta objek lain ke atas padang dan trek larian, manakala beberapa individu yang memanjat pagar perimeter stadium turut bertindak membaling barang ke dalam kawasan padang.
“Hanya pemimpin dan pelakon berada di sekeliling Messi … jadi kenapa kami dipanggil?” kata seorang penyokong kepada ANI. “Kami membayar 12,000 rupee (RM541)) untuk tiket, tetapi kami tidak dapat melihat wajahnya pun.”
Penganjur jelajah Messi ke India tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan komen.
Kolkata ialah ibu negeri kepada negeri Bengal Barat di timur India, yang bersama Kerala dan Goa, telah lama mempunyai budaya bola sepak yang kuat di sebuah negara yang sebaliknya didominasi oleh kriket.
Legenda Argentina, Diego Maradona, pernah melawat Kolkata sebanyak dua kali dan pada tahun 2017, beliau merasmikan patung dirinya memegang Piala Dunia di hadapan ribuan peminat.
Messi, yang pernah bermain dalam perlawanan persahabatan di Stadium Salt Lake pada tahun 2011 di mana Argentina menewaskan Venezuela 1–0, turut merasmikan secara maya sebuah patung setinggi 69 kaki dirinya di bandar itu pada Sabtu lalu.

SEMENTARA itu, Menurut laporan media India, pelaburan besar-besaran dalam pembinaan patung Messi setinggi 21 meter yang memegang trofi Piala Dunia telah mencetuskan reaksi balas keras daripada netizen India dalam media sosial.
Patung tersebut telah menarik kehadiran ramai pelancong dan menimbulkan rasa ingin tahu, namun pada masa yang sama mengundang kritikan hebat di media sosial.
Satu komen berbunyi, “Sebuah negara dengan lebih satu bilion penduduk pun tidak mampu mencari 11 pemain, apatah lagi melatih mereka untuk Piala Dunia. Saya rasa membina patung Messi di India akan membuatkan kami terkenal.”
Seorang pengguna lain mempersoalkan tujuan pembinaan patung itu dengan berkata, “Sangat pelik melakukan semua ini untuk seseorang yang bukan warga India dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan India.”
Satu hantaran lain menyatakan, “Melakukan sejauh ini untuk membina patung tersebut adalah langsung tidak perlu.”
Satu lagi komen berbunyi, “Adakah ini benar? Bayangkan melabur untuk membina patung seseorang yang hampir tidak tahu apa-apa tentang India dan mengagungkannya berbanding pemain-pemain terhebat India sendiri — ini benar-benar bodoh. Maksud saya, dia memang legenda, tetapi dia tidak layak menerima sumber sebesar ini.”
Netizen lain turut menyuarakan pandangan serupa. Seorang berkata, “Menghormati legenda adalah penting, tetapi kita sepatutnya memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan terlebih dahulu.”
Seorang lagi menambah, “Wang ini sebenarnya boleh mengubah nasib ramai pemain muda.”


