SEORANG lelaki tempatan berusia 55 tahun ditahan polis selepas disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah pasar raya di daerah Gerik, semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 5.57 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 3.33 petang apabila mangsa, seorang wanita berusia 25 tahun yang bekerja di pasar raya berkenaan, terdengar bunyi mencurigakan sebelum bertindak memeriksa.
“Mangsa yang bekerja di pasar raya itu mulanya terdengar bunyi seperti zip dibuka, membuatkan pengadu (mangsa) pergi melihat sebelum mendapati suspek sedang membuat gangguan seksual itu.
“Suspek ketika itu sedang memegang kemaluan dan beronani sambil memandang ke arah pengadu. Pengadu bertindak merakam perbuatan suspek menggunakan telefon bimbit serta memarahi supek sehingga dia beredar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek berjaya dikesan dan ditahan tidak lama selepas kejadian bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, polis akan memohon perintah reman terhadap suspek hari ini bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” ujarnya.
Terdahulu, tular video berdurasi 2 minit 31 saat memaparkan kejadian seorang wanita dipercayai pekerja pasar raya sedang memarahi seorang lelaki yang memegang kemaluan sendiri dalam sebuah pasar raya.


