POLIS mengesahkan telah menahan seorang lelaki dan seorang perempuan tempatan susulan video tular minum arak bertudung di dalam sebuah salon.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar berkata, lelaki dan wanita masing-masing berusia 22 dan 24 tahun ditahan kira-kira pukul 4.30 petang di Subang Jaya, Selangor bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati individu yang minum minuman keras adalah seorang lelaki,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Katanya, tangkapan itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan berhubung penularan video memaparkan individu memakai tudung sambil minum minuman keras.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang (D5).
“Kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Terdahulu video yang dimuatnaik di media sosial itu mendapat kecaman pelbagai pihak dan meminta supaya tindakan keras diambil.
Hantaran itu menimbulkan kemarahan netizen khususnya yang beragama Islam malah ada juga pengguna media sosial bukan Muslim yang mengecam tindakan kumpulan terbabit.


