SEORANG lelaki tempatan yang dipercayai menceroboh sebuah rumah di Taman Tun Teja, Rawang, ditahan polis dalam tempoh kurang tujuh jam selepas kejadian sebelum didakwa di Mahkamah Majistret Selayang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya mengesan satu hantaran tular di media sosial Threads berkaitan kejadian pencerobohan rumah sebelum menerima laporan rasmi daripada mangsa.
Menurutnya, pengadu yang merupakan seorang wanita tempatan membuat laporan polis pada jam 7.49 malam semalam.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5.15 petang ketika mangsa berada di bahagian dapur rumahnya.
“Suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan dipercayai menceroboh masuk ke dalam rumah pengadu sebelum mangsa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Rawang berjaya menahan suspek kira-kira jam 11.30 malam ketika menjalankan rondaan berhampiran lokasi kejadian.
Katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan rumah.
“Selepas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, suspek didakwa di Mahkamah Majistret Selayang kira-kira jam 10 pagi hari ini mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sehubungan itu, Ibrahim menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan dengan memastikan pintu rumah dikunci bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Katanya, polis akan terus mempertingkatkan rondaan berkala di kawasan perumahan bagi mencegah kejadian seumpama itu daripada berulang.






