JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor merampas sebuah bas ekspres yang didapati mengutip tambang secara berasingan, sekali gus melanggar syarat lesen pengendali, dalam operasi di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Chagar, awal pagi tadi.
Operasi oleh Pasukan Perisikan Operasi JPJ Johor itu dijalankan di lorong bas masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) kira-kira jam 3 pagi.
Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin berkata, pegawai menyamar sebagai penumpang dalam perjalanan dari BSI ke Woodlands, Singapura bagi mengesan kutipan tambang yang tidak dibenarkan.
“Siasatan mendapati bas ekspres berkenaan melanggar Seksyen 22(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana mengutip tambang secara berasingan, bertentangan dengan syarat lesen pengendali.
“Mereka juga menjumpai kotak kutipan yang digunakan untuk mengutip wang daripada penumpang,” katanya hari ini, lapor BH.
Beliau berkata, bas berkenaan dirampas mengikut Seksyen 80(1) akta sama sementara menunggu tindakan lanjut.
Jika sabit kesalahan, pengendali berdepan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, manakala kenderaan itu juga boleh disita.
Zulkarnain berkata, penguatkuasaan dan pemantauan akan diteruskan di CIQ Bukit Chagar bagi membendung pengendali pengangkutan awam yang melanggar peraturan serta mengambil keuntungan melalui kutipan tambang tidak sah.
Katanya, pengusaha bas hanya boleh mengenakan tambang tambahan jika dibenarkan mengikut jadual tambang yang diluluskan dan syarat lesen ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Penumpang juga perlu diberikan bukti pembayaran yang sah, manakala pemandu tidak dibenarkan mengenakan surcaj sewenang-wenangnya atau mengutip bayaran tunai yang tidak dibenarkan.





