JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) mempergiat operasi penguatkuasaan dengan menggempur majikan yang masih degil menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) serta ingkar dasar penggajian pekerja warga asing.
Dalam operasi semalam, Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya melaksanakan serbuan serentak di lapan lokasi di Selangor melibatkan premis di Semenyih, Jenjarom, Seri Kembangan, Cheras dan Serdang.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi hasil risikan selama dua minggu itu membabitkan 52 pegawai pelbagai pangkat.
“Hasil pemeriksaan ke atas 88 individu terdiri daripada 66 warga asing dan 22 warga tempatan, seramai 45 warga asing ditahan.
“Mereka terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, India, Nepal dan Indonesia berusia antara 29 hingga 50 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Menurutnya, sembilan Saman Kepada Saksi turut dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan.
“Kesemua warganegara asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
JIM menegaskan tindakan penguatkuasaan bukan sahaja menyasarkan warga asing yang melanggar undang-undang, malah turut memfokuskan majikan yang berdegil, cuai atau sengaja menggaji PATI.
“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau memberi pekerjaan kepada warganegara asing secara tidak sah,” ujarnya.


