POLIS kini sedang mengesan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam cubaan samun di sebuah premis pajak gadai di Puchong Prima, Subang Jaya, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada pengurus premis terbabit.
Menurutnya, ketika kejadian, tiga suspek bertopeng dan bersenjatakan objek dipercayai parang cuba memasuki bahagian kaunter premis namun tidak berjaya.
“Suspek kemudian bertindak melarikan diri sebelum pengadu membunyikan penggera keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222.
“Semua identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan tiga lelaki berpakaian serba hitam memasuki sebuah premis dipercayai dalam cubaan samun.
Satu lagi rakaman lain menunjukkan ketiga-tiga suspek keluar semula dari premis itu sebelum melarikan diri.


