SEORANG lelaki yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana disyaki melakukan ritual agama bertentangan dengan hukum syarak akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang di Rawang esok.
JAIS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pertuduhan terhadap lelaki berusia 21 tahun itu dijadualkan berlangsung pada jam 10 pagi mengikut Seksyen 4 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan kesalahan pemujaan salah.
“Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (Pemujaan Salah) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad mengesahkan penahanan lelaki berkenaan bersama ibunya yang berusia 52 tahun di Kuala Lumpur pada 13 Oktober lalu bagi membantu siasatan kes terbabit.
Beliau berkata, penahanan kedua-dua individu itu dilakukan menerusi waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dan dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.





