SEORANG lelaki maut akibat dibaham buaya ketika mengambil pukat yang dipasang di laut dalam kejadian di Kampung Mundas, Tungku dekat Lahad Datu semalam.
Mangsa yang berusia 20 tahun ditemukan pada jam 10 pagi dengan kesan gigitan pada tubuh badan akibat dibaham reptilia tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati mangsa keluar ke laut pada jam 7 pagi.
“Mangsa keluar untuk mengambil hasil laut daripada pukat yang dipasangnya sehari sebelum itu.
“Bagaimanapun, seekor buaya dipercayai muncul secara tiba-tiba lalu membaham mangsa pada bahagian perut dan dada sebelah kiri sebelum mangsa tenggelam,” katanya dalam kenyataan semalam.
Susulan kejadian itu, ahli keluarga dan penduduk kampung telah menjalankan pencarian sehingga menemukan mayat mangsa di lokasi tersebut.
“Mangsa ditemukan semula dalam keadaan terapung dan sudah tidak bernyawa di kawasan pantai kampung tersebut.
“Dengan penemuan mayat tersebut, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.
Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Sab Inspektor Mohd Tahir Radin Hassan di talian 089-88 1255 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut akibat dibaham buaya di sungai Kampung Tagupi di daerah yang sama.






