Lelaki maut terjatuh dari parkir bertingkat pusat beli-belah

SEORANG lelaki ditemukan maut berhampiran sebuah pusat beli-belah di Lebuh Tek Soon di Georgetown malam tadi, dipercayai selepas terjatuh dari kawasan parkir bertingkat bangunan berkenaan.

Lelaki berusia 47 tahun itu ditemukan orang awam dalam keadaan berlumuran darah sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi kejadian.

Ketika kejadian, lelaki warga tempatan yang beralamat di Kuala Lumpur itu memakai baju hitam dan seluar denim biru.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 9.10 malam.

Menurutnya, maklumat awal yang diterima mendakwa seorang individu terjatuh dari bangunan pusat beli-belah berkenaan.

“Saksi awam memaklumkan bahawa terlihat mangsa terjatuh dari kawasan parkir tingkat atas pusat beli-belah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa dan kawasan sekitar kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

Sehubungan itu, katanya, satu laporan kematian mengejut (SDR) akan dibuka bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kejadian berkenaan.

Pasukan polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut berada di lokasi kejadian.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here