AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dipercayai beroperasi melanggar syarat lesen di kedudukan 9.4 batu nautika barat Tanjung Chinchin, Langkawi semalam.
Bot berkenaan ditahan dalam operasi kira-kira jam 11 pagi selepas dikesan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan mengikut syarat lesen.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bot peronda yang sedang melaksanakan rondaan rutin menerima maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di perairan berkenaan sebelum digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan pada jarak yang melanggar syarat lesen ditetapkan.
“Bot nelayan itu kemudian ditahan untuk pemeriksaan lanjut dan didapati dinaiki empat kru termasuk tekong warga Thailand berusia antara 32 hingga 52 tahun.
“Siasatan awal mendapati bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai iaitu melanggar syarat lesen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bot bersama semua kru ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM320,000.
Romli berkata, aktiviti menangkap ikan di luar zon yang dibenarkan bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan nelayan pesisir pantai malah boleh mengganggu kelestarian sumber perikanan negara.
“Maritim Malaysia akan terus memperhebat operasi dan rondaan di Zon Maritim Malaysia bagi membanteras aktiviti haram serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang maritim negara,” katanya.






