Lelaki Pakistan tular guna kenderaan logo JIM ditahan

SEORANG lelaki warga Pakistan yang dikaitkan dengan video tular sebuah Toyota Hilux menggunakan logo Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Setapak, Kuala Lumpur, semalam.

Tangkapan dilakukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya kira-kira jam 4.30 petang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, lelaki warga Pakistan berkenaan dipercayai individu yang berada dalam video tular berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di premis berkenaan turut menemukan seorang wanita warga Indonesia yang didapati melakukan kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.

“Pihak JIM juga menemui dua naskhah pasport Indonesia yang dipercayai milik individu lain dalam milikan lelaki Pakistan terbabit.

“Lelaki tersebut ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala wanita Indonesia itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, pasukan operasi turut mengesan Toyota Hilux yang dipercayai digunakan dalam video tular berkenaan di sebuah kedai cuci kenderaan di Jalan Kuching, di sini.

Katanya, pemeriksaan di premis itu membawa kepada penahanan lapan lelaki warga asing yang bekerja di kedai cuci kenderaan berkenaan, terdiri daripada empat warga Bangladesh, tiga Pakistan dan seorang India.

“Seorang lelaki Pakistan terbabit yang merupakan pemilik kenderaan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, manakala yang lain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Mengulas video tular berkenaan, Zakaria berkata, hasil siasatan awal mendapati rakaman itu sebenarnya diambil pada April 2025 dan baru dimuat naik menerusi status WhatsApp oleh isteri individu terbabit pada 7 Ogos lalu.

“Isteri kepada individu tersebut berada di Indonesia dan video tersebut dimuat naik ketika isterinya berada di Indonesia.

“Pemilik kenderaan berkenaan mengakui memasang logo JIM dan lampu mata arah tersebut sekadar untuk kegunaan peribadi tanpa sebarang tujuan rasmi dan mendakwa tidak mengetahui perkara itu menjadi kesalahan undang-undang,” katanya.

Tambahnya, pemilik kenderaan itu turut mendakwa logo JIM dan lampu mata arah berkenaan sudah dibuang sebelum video tersebut tular.

Katanya, kesemua individu yang ditahan bersama kenderaan berkenaan sudah dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan logo atau identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan imej dan integriti jabatan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here