JANJI pulangan lumayan dalam tempoh singkat membawa padah apabila seorang lelaki tempatan kerugian RM257,408 selepas menjadi mangsa skim pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Mangsa yang berusia awal 40-an itu dikatakan berkenalan dengan seorang wanita menerusi aplikasi RedNote pada awal Mac lalu sebelum perbualan diteruskan melalui WhatsApp.
Menurut sumber, suspek kemudian memperdaya mangsa dengan menawarkan peluang pelaburan kononnya menguntungkan, selain mengarahkannya memuat turun satu aplikasi khas untuk tujuan tersebut.
Terpengaruh dengan janji keuntungan tinggi, mangsa melakukan sebanyak 17 transaksi ke dalam empat akaun bank berbeza. Namun, mangsa tidak menerima sebarang pulangan, malah terus diminta membuat bayaran tambahan.
Menyedari dirinya ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes berkenaan pada 26 April lalu.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam masa singkat.
Mangsa penipuan juga disaran segera menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 sekiranya baru melakukan transaksi mencurigakan, selain membuat semakan akaun atau nombor telefon melalui laman semakmule.rmp.gov.my sebelum memindahkan wang.


