KES seorang lelaki berusia 43 tahun ditemukan lemas di Sungai Belat, Kampung Belukar, Batu Tiga Jalan Gambang, Kuantan, hari ini, tidak mempunyai unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, mayat mangsa, Mohd Firdaus Rahmat ditemukan pasukan mencari dan menyelamat berhampiran lokasi mangsa terjatuh pada jam 12.05 tengah hari.
Katanya, susulan penemuan itu, ahli keluarga mengesahkan mayat mangsa adalah Mohd Firdaus yang dilaporkan hilang semalam, selepas membuat pengecaman.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diserang sawan sebelum terjatuh dalam sungai. Ini kerana mangsa ada rekod sakit sawan dan mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HTAA untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai terjatuh dari bot ke dalam sungai pada jam 2.30 petang semalam dan ketika itu mangsa turun ke sungai untuk mengambil lukah sebelum dia dilaporkan hilang.
“Berikutan itu, usaha mencari mangsa dilakukan penduduk setempat tetapi gagal menemui mangsa malam tadi sebelum disambung pada jam 8 pagi ini,” katanya.
Dalam operasi itu, seramai 46 pegawai dan anggota terbabit termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).


