POLIS menumpaskan satu sindiket perjudian bola sepak dalam talian menerusi serbuan di sebuah kedai pejabat di Cheras, awal pagi semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 2.40 pagi menerusi Op Soga XI, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan seramai 32 warga China membabitkan 29 lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, sindiket berkenaan dipercayai berperanan mengurus akaun pelanggan, menyelia transaksi serta mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian.
Menurutnya, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan operasi sindiket itu.
“Antara barang dirampas ialah 28 unit komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, modem internet serta peralatan lain berkaitan operasi perjudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu mengendalikan pertaruhan bola sepak menerusi laman sesawang 6288.com dan menggunakan unit kedai pejabat berkenaan sebagai pusat operasi.
“Premis itu dipercayai mula beroperasi sejak tiga minggu lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 4 Julai ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, pihak polis akan terus mempergiat Op Soga XI sepanjang kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 dengan memberi tumpuan kepada ejen pertaruhan, penganjur serta individu yang terbabit dalam kegiatan perjudian sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.






