POLIS Kedah berjaya menumpaskan sindiket penipuan dalam talian atau love scam yang menyasarkan mangsa wanita di Jepun selepas menyerbu sebuah bangunan kedai yang dijadikan pusat operasi ‘calling centre’ di Taman Perindustrian Ringan Kristal di Alor Setar baru-baru ini.
Dalam serbuan kira-kira jam 1.40 petang Isnin lalu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menahan tujuh lelaki warga China berusia antara 21 hingga 30 tahun yang disyaki terlibat dalam sindiket tersebut.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil pemeriksaan di premis terbabit membawa kepada rampasan 58 peralatan dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan.
Beliau berkata, keseluruhan rampasan termasuk 34 telefon bimbit, enam komputer riba serta pelbagai peralatan komputer dan rangkaian internet dianggarkan bernilai RM50,000.
“Permohonan reman terhadap semua suspek telah dibenarkan Mahkamah Majistret Alor Setar selama empat hari bermula 21 hingga 24 Julai bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di IPK Kedah hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Adzli, siasatan awal mendapati sindiket itu mula beroperasi sejak pertengahan Jun lalu dengan menjadikan kebanyakan wanita warga Jepun sebagai sasaran utama penipuan.
Menurutnya, sindiket berkenaan menggunakan aplikasi LINE dan Langmate untuk mewujudkan akaun palsu serta menyamar menggunakan identiti tidak benar bagi memperdaya mangsa menerusi love scam.
“Hasil semakan terhadap data yang ditemukan dalam komputer yang dirampas mendapati sekurang-kurangnya 19 warga Jepun dikenal pasti menjadi mangsa sindiket ini,” ujarnya.
Adzli memberitahu, semua ahli sindiket direkrut di negara asal mereka melalui tawaran pekerjaan luar negara yang diiklankan menerusi aplikasi Douyin, sebelum dibawa masuk ke Malaysia dengan tiket penerbangan yang disediakan sindiket.
Beliau berkata, setiap individu dijanjikan gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 bergantung kepada peranan masing-masing dalam operasi berkenaan.
“Siasatan mendapati setiap ahli mempunyai tugasan tertentu termasuk menyelia rekod mangsa, berkomunikasi dengan mangsa serta menguruskan maklumat kewangan menggunakan platform aplikasi yang digunakan,” katanya.
Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakat jahat jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.






