LIMA motosikal terbabit dalam kemalangan dipercayai akibat melanggar kabel telekomunikasi yang ditinggalkan di atas Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Kilometer 21.5 dari Hulu Kelang menghala ke Ampang, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, kabel telekomunikasi bersaiz kira-kira empat sentimeter dengan panjang sekitar 35 meter dipercayai menjadi punca kemalangan yang turut tular menerusi video di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, siasatan awal mendapati kabel berkenaan berada di atas jalan ketika lima penunggang motosikal melalui lokasi kejadian.
“Polis menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan lima motosikal di Jalan MRR2, Kilometer 21.5 dari Hulu Kelang menghala ke Ampang.
“Siasatan mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kabel telekomunikasi (TM) bersaiz empat sentimeter dengan panjang kira-kira 35 meter yang ditinggalkan di atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut mengesan satu rakaman video berkaitan kejadian yang tular menerusi aplikasi Threads.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kabel berkenaan berada di lokasi kejadian serta pihak yang bertanggungjawab.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427, Seksyen 431A, Seksyen 283 dan Seksyen 124K Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, Seksyen 427 memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Kesalahan di bawah Seksyen 431A pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 283 memperuntukkan denda sehingga RM400.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan pula, pesalah boleh dipenjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun jika disabitkan kesalahan,” katanya.






