PENGANJURAN Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bukan sekadar menghimpunkan hasil pertanian, malah memberi peluang kepada pengunjung meneroka pengalaman baharu berkaitan pertanian dan teknologi moden.
Bagi pelajar, Muhammad Faaiz Muhammad Rafee, 24, yang pernah mengunjungi MAHA pada 2024, penganjuran kali ini lebih meriah dengan kepelbagaian program dan pameran yang ditawarkan.

“Bagi saya, perbezaannya dari segi program kerana tahun ini lebih banyak. Makanan pun lebih pelbagai dan kita dapat tengok banyak pameran yang ada di sini,” katanya ketika ditemui utusanmelayuplus di MAHA 2026.
Menurutnya, Laman Padi antara lokasi yang menarik perhatiannya selain tarikan lembu sado, manakala Laman Sayur pula sesuai dikunjungi bersama keluarga kerana pengunjung boleh melihat pelbagai jenis sayur, herba dan tumbuhan.
Sementara itu, pekerja swasta, Tan Yee Heng, 30, yang pertama kali mengunjungi MAHA 2026 berkata, suasana (vibe) yang meriah serta kehadiran pengunjung daripada pelbagai peringkat umur menjadikan pengalaman itu menarik.

“Saya rasa suasana di sini sangat bagus dan ramai orang datang. Ada juga yang bawa keluarga, jadi ia seperti family day trip. Bagi saya, pengalaman ini agak menarik kerana saya tidak sangka acara ini seperti ini,” katanya.
Bagi pelajar, Iffah Aziema Yusri, 21, berkata kemudahan pengangkutan yang disediakan tahun ini turut memudahkan pengunjung bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.

Katanya, Laman Sayur memberikan pengalaman baharu apabila dia berpeluang melihat kepelbagaian jenis sayur termasuk cili dalam pelbagai warna dan bentuk.
“Saya baru tahu ada pelbagai jenis sayur lain. Sudah tentu saya nak datang lagi kerana masih banyak tempat yang belum saya jelajah,” katanya.
Sementara itu, penjawat awam, Nasrol Rabidi, 32, berkata MAHA 2026 turut memberi peluang kepada pengunjung melihat perkembangan teknologi dan inovasi dalam sektor pertanian.

“Banyak yang saya belajar. Di Laman Veterinar kita boleh tengok pelbagai jenis lembu sado dengan pelbagai jenis baka.
“Di Laman Sayur pula kita boleh tengok pelbagai jenis varieti sayur dan teknologi yang boleh membantu pertanian moden,” katanya.
Menurutnya, penggunaan teknologi seperti dron menunjukkan sektor pertanian kini semakin bergerak ke arah kaedah moden bagi memudahkan kerja-kerja pertanian.





