Mahkamah Persekutuan  tetapkan 30 Jun keputusan rayuan akhir pembebasan Syed Saddiq

MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 30 Jun ini untuk menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara itu.

Pemakluman tarikh keputusan rayuan itu dinyatakan menerusi surat daripada Mahkamah Persekutuan yang dialamatkan kepada Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Pada 12 Dis 2025, Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk meneliti semula rayuan berkenaan selepas pihak-pihak selesai berhujah, lapor Bernama.

Dalam situasi jarang berlaku, Hakim Abu Bakar yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Che Mohd Ruzima Razali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata pihak pendakwaan perlu berbincang dan menyatakan pendirian sama ada mahu meneruskan rayuan itu atau sebaliknya.

Pada 17 Dis 2025, AGC dalam satu surat kepada timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa Peguam Negara telah mengarahkan supaya pihak pendakwaan meneruskan rayuan terhadap pembebasan Syed Saddiq dan akan menerima sebarang keputusan mahkamah.

Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas serta membebaskan Syed Saddiq, 33, selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Nov 2023.

Sehari selepas itu, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda.

Beliau turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.

Selain itu, beliau turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img