ABANG penyerang Balai Polis Ulu Tiram ada berangan-angan untuk melakukan serangan pada hari perbarisan sempena Hari Merdeka bersama keluarganya, menurut fakta kes dibacakan di Mahkamah Tinggi.
Radin Romyullah Radin Imran, 36, berkata dalam kenyataan dirakamkan semasa siasatan, bahawa sasarannya adalah pegawai polis dan anggota tentera.
“Sekiranya berpeluang saya akan menyerang anggota polis di mana saja saya menjumpai mereka.
“Saya juga pernah berangan-angan untuk membawa seluruh keluarga menaiki van yang dipenuhi muatan bahan letupan, menyerang hari perbarisan Merdeka dengan mensasarkan anggota keselamatan negara (polis, tentera terutamanya komando),” katanya.
Radin Romyullah berkata, dia menyokong tindakan adik lelakinya berusia 21 tahun, Radin Luqman Radin Imran, yang membunuh dua polis di Balai Polis Ulu Tiram, sambil menyatakan polis dan tentera dianggap sebagai kafir, lapor FMT.
Dia berkata, bapanya, Radin Imran Radin Yassin, 64, pernah bercakap hal menyerang pegawai polis menggunakan senjata tajam di mana-mana sahaja mereka ditemui.
Beliau juga mengaku menyimpan klip video kumpulan pengganas Islamic State (IS) yang dimuat turun daripada media sosial ke dalam cakera keras luaran.
Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun turut membacakan kenyataan ibu Radin Romyullah, Rosna Jantan, di mana wanita 61 tahun itu, berkata ada mendengar suaminya bercakap hal menyerang balai polis dan bertanya kepada Radin Romyullah sama ada berani untuk melaksanakannya.
“Beberapa hari sebelum kejadian, saya mendengar suami, Radin Imran, bercakap mahu menyerang balai polis dan bertanya kepada anak lelaki saya, ‘Romyu, berani tak nak buat?’
“Saya juga mendengar suami saya menyebut tentang hidup mulia dan mati syahid,” katanya.
Rosna mengakui bahawa suaminya mendedahkan diri dan anak-anak mereka kepada ideologi IS melalui video yang disebarkan oleh kumpulan itu.
Siasatan mendedahkan, empat senapang angin dirampas dari rumah keluarga itu di Ulu Tiram merupakan senjata buatan sendiri yang dibuat menggunakan paip PVC. Polis turut merampas senjata lain, termasuk busur, sebilah busur silang, anak panah, lembing, parang, kerambit, dan pisau.
Siasatan juga menunjukkan keluarga berkenaan menetap di rumah sama sejak 1990-an dengan sebahagian besarnya hidup menyendiri serta mengasingkan diri daripada masyarakat setempat.
Pihak berkuasa menemui kenyataan dan frasa yang ditulis pada dinding oleh Radin Imran menyatakan kebencian terhadap kerajaan dan pasukan keselamatan.
Radin Imran dan Radin Romyullah masing-masing dijatuhi hukuman penjara 30 tahun hari ini selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan berkaitan keganasan.
Rosna dijatuhi hukuman penjara empat tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal memberikan maklumat berkaitan kesalahan keganasan.
Dalam pada itu, mahkamah membebaskan dua beradik perempuan, Farhah Sobrina, 25, dan Mariah, 21, selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan.
Pada 17 Mei 2024, Radin Luqman menyerbu Balai Polis Ulu Tiram kira-kira 2 pagi dan membunuh dua polis. Dia telah ditembak mati dalam kejadian tersebut.
Susulan serangan itu, polis telah melancarkan siasatan terhadap ahli keluarganya.


