MAHKAMAH Rayuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini mengarahkan kerajaan menyelaraskan pencen bekas penjawat awam berdasarkan pekeliling perkhidmatan 2016, sekali gus mengelakkan kerajaan daripada membayar tunggakan berjumlah RM1.7 bilion kepada lebih setengah juta pesara.
Hakim Azhahari Kamal Ramli yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel tiga hakim berkata, perkara itu telah diputuskan sebelum ini menerusi keputusan Mahkamah Rayuan pada 2022.
Sehubungan itu, katanya, semakan kehakiman yang difailkan oleh Aminah Ahmad bersama 56 pesara penjawat awam lain selaku responden dalam rayuan semasa adalah res judicata dan adalah penyalahgunaan proses mahkamah, lapor FMT.
Bagaimanapun, panel yang dipengerusikan oleh Hakim Lim Chong Fong serta turut dianggotai Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid menjelaskan bahawa keputusan hari ini hanya terpakai kepada 57 responden dalam kes berkenaan.
Dalam keputusan pada 2022, Mahkamah Rayuan membatalkan pindaan yang dibuat terhadap Akta Penyelarasan Pencen 1980 pada 2013 yang memperuntukkan kenaikan tahunan tetap sebanyak dua peratus kepada pesara.
Mahkamah turut memutuskan pindaan 2013 itu tidak berperlembagaan kerana meletakkan pesara perkhidmatan awam dalam kedudukan kurang memihak, sekali gus bercanggah dengan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.
Aminah, bekas pegawai Kementerian Luar Negeri Malaysia, bersama responden lain kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi memohon Mahkamah Tinggi mengarahkan kerajaan menyelaraskan pencen mereka berdasarkan formula sebelum 2013 seperti yang ditetapkan dalam akta berkenaan.
Formula sebelum 2013 mewajibkan kerajaan menyemak semula pencen selaras dengan pelarasan gaji pegawai yang masih berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Pada Januari 2023, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan responden, sekali gus membawa kepada rayuan semasa. Namun perintah itu digantung sementara menunggu pelupusan rayuan berkenaan.
Dalam hujahan sebelum ini, kerajaan yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly berhujah bahawa pesara tidak berhak menerima pelarasan pencen kerana Pekeliling Perkhidmatan PP 1/2016 hanyalah satu “penambahbaikan” skim perkhidmatan awam dan bukan semakan gaji.
Dalam keputusan hari ini, Mahkamah Rayuan bersetuju dengan hujahan kerajaan, dengan menyatakan Aminah juga gagal membuktikan beliau mengalami kerugian akibat pindaan 2013 serta tidak memfailkan rayuan terhadap perkara itu sebelum ini.
Dengan keputusan hari ini, kerajaan tidak lagi terikat untuk melaksanakan pelarasan pencen berkenaan.
Peguam Baljit Singh Sidhu, yang mewakili responden bersama Gurpreet Kaur Pannu, berkata beliau menerima arahan untuk memohon kebenaran merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Peguam Persekutuan Sallehuddin Ali turut hadir mewakili kerajaan.


