AHLI Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Zawawi Salleh hari ini memohon maaf berikutan kontroversi ucapan beliau yang dianggap menghina sahabat Rasulullah SAW.
Dalam satu kenyataan melalui Facebook beliau, Nik Zawawi mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut.
‘’ Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut. Saya sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan oleh Allah SWT,’’ katanya.
Permohonan maaf beliau itu dilakukan selepas Dewan Ulamak Pas memberikan memberi teguran serta peringatan secara dalaman kepada Nik Zawawi Salleh agar lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam, khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan para Sahabat Rasulullah SAW.
Dalam kenyataannya Nik Zawawi menjelaskan, tujuan asal kenyataan beliau hanyalah untuk menjelaskan serta memberikan penekanan mengenai kehebatan risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosio budaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.
‘’Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya, dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahupun kepimpinannya.
‘’Semoga Allah SWT mengampunkan segala kekhilafan saya dan menerima segala usaha kita semua dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan kebijaksanaan,’’ katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para tuan guru, asatizah, sahabat-sahabat serta seluruh masyarakat yang telah memberikan teguran, nasihat dan pandangan kepadanya


