Mahkamah tolak permohonan pengosongan balai, kediaman rasmi Undang Rembau, Sungei Ujong

MAHKAMAH Tinggi Seremban menolak saman pemula yang difailkan oleh kerajaan Negeri Sembilan bagi mendapatkan perintah pengosongan serta-merta balai dan kediaman rasmi Undang Rembau serta Undang Sungei Ujong.

Hakim Roz Mawar Rozain mendapati bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai locus standi untuk memulakan prosiding di bawah Aturan 89 Kaedah-kaedah Mahkamah.

“Seksyen 16 menghendaki prosiding dimulakan oleh pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG) atas nama jawatan itu, dan responden pertama berhujah bahawa pemohon, iaitu kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai pemilikan berdaftar atau kapasiti undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap dakwaan pencerobohan atau pemilikan.

“Justeru, saya mendapati pemohon gagal membuktikan pemilikan atau hak kepada pemilikan yang menyebabkan prasyarat di bawah Aturan 89 Kaedah-kaedah Mahkamah tidak dipenuhi,” katanya, lapor Bernama, pada prosiding dalam talian hari ini.

Kerajaan Negeri Sembilan diwakili Muhammad Hariz Md Yusoff selaku peguam. Choo Shi Jin mewakili Abdul Rahim Yasin manakala Asmawi Ismail bertindak bagi pihak Mubarak Thahak.

Mahkamah juga memutuskan bahawa premis yang dipertikai diklasifikasikan sebagai tanah rizab di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) dan di bawah Seksyen 16(1)(c), sebarang tindakan undang-undang berkaitan dakwaan pencerobohan atau pendudukan tidak sah mesti dimulakan oleh PTG bagi pihak Pihak Berkuasa Negeri, bukannya secara langsung oleh kerajaan negeri.

Roz Mawar berkata prosiding ringkas di bawah Aturan 89 adalah tidak sesuai kerana pemohon gagal membuktikan hak milik yang tidak boleh dicabar sekali gus menimbulkan isu yang boleh dibicarakan berkaitan kuasa perundangan yang sewajarnya.

Beliau berkata keputusan itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang pemilikan atau hak untuk menduduki kepada kedua-dua responden, dan ia juga tidak menentukan siapa Undang Rembau atau Undang Sungei Ujong yang sah.

“Saya menolak permohonan ini tanpa menjejaskan sebarang prosiding yang mungkin dimulakan oleh penuntut sah di bawah undang-undang atau oleh mana-mana individu lain yang dapat membuktikan hak milik yang sah dan berterusan di bawah KTN,” katanya.

Mahkamah mengarahkan Kerajaan Negeri Sembilan membayar kos sebanyak RM25,000 bagi setiap saman, yang berjumlah RM50,000, kepada responden.

Pada 1 Ogos lalu, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan mengumumkan

Mubarak telah diberhentikan sebagai Undang Luak Sungei Ujong menurut adat luak sebelum ini.

DKU juga mengumumkan Rahim tidak pernah dilantik sebagai Undang Luak Rembau secara sah menurut adat yang dikehendaki.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here