Majlis Menghadap Sembah Takzim Tuanku Nadzaruddin dibatalkan atas faktor keselamatan

MAJLIS Menghadap Sembah Takzim Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) ke atas Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar hari ini dibatalkan atas faktor keselamatan.

Pertemuan tersebut yang sepatutnya dijadualkan berlangsung di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar di Seremban pada jam 9 pagi itu terpaksa dibatalkan atas nasihat pihak berkuasa.

ANGGOTA polis berkawal di luar Galeri Diraja Tuanku Ja’afar di Seremban, lokasi Majlis Menghadap Sembah Takzim yang dibatalkan atas faktor keselamatan di Seremban, hari ini. GAMBAR: Nurul Shafina Jemenon

Menurut sumber kerajaan negeri, pertemuan tersebut dibatalkan apabila pihak berkuasa meminta agar ianya tidak diadakan berikutan faktor keselamatan.

“Bagaimanapun Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri serta sebahagian daripada ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) sempat mengadakan pertemuan dan bersarapan di sebuah hotel di pusat bandar raya ini.

“Setakat ini dimaklumkan majlis menghadap sembah takzim itu tidak akan diadakan atas faktor keselamatan,” kata sumber itu ketika ditemui media di hotel tersebut hari ini.

BEBERAPA kenderaan rasmi Exco kerajaan negeri diparkir di lobi sebuah hotel di Seremban hari ini. GAMBAR: Nurul Shafina Jemenon

Petugas media mula berkumpul di Galeri Diraja seawal jam 8.30 pagi namun dimaklumkan bahawa kesemua Exco kerajaan negeri dan Menteri Besar berada di sebuah hotel berdekatan.

Terdapat sekumpulan individu yang mendakwa penyokong kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turut berada di luar galeri berkenaan.

Kumpulan berkenaan yang dianggarkan kurang daripada 10 orang turut datang ke hotel itu dan mengadakan bantahan secara aman.

Media semalam melaporkan, Majlis Menghadap Sembah Takzim yang dirancang itu diadakan bagi sesi suai kenal dan mengeratkan silaturahim antara Menteri Besar serta barisan Exco dengan Tuanku Nadzaruddin.

Turut dijangka hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong.

Pada Ahad lalu, media melaporkan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan Exco kerajaan negeri itu berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.

Sehubungan dengan itu katanya, Menteri Besar hendaklah mempersembahkan senarai calon Exco yang baharu untuk pertimbangan dan perkenan Duli Yang Maha Mulia menurut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Susulan itu, Ismail dalam kenyataannya berkata, tidak ada keperluan mengemukakan senarai Exco yang baru kerana Exco yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.

 

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here