‘’Malaysia akan bercakap terus-terang…kami sudah muak’’ –  Tok Mat Hasan

KUASA veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti dicabar dan pada akhirnya dimansuhkan bagi menangani kegagalan majlis berkenaan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata memperluaskan keanggotaan majlis itu sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan kepincangannya, sambil menegaskan penggunaan veto mesti dipersoalkan dan dicabar sekeras-kerasnya oleh setiap anggota Perhimpunan Agung PBB (UNGA), terutamanya dalam kes melibatkan jenayah terhadap kemanusiaan.

“Penggunaan kuasa veto mesti dipersoalkan dan dicabar sekeras-kerasnya oleh setiap anggota Perhimpunan Agung ini. Terutamanya dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya semasa menyampaikan kenyataan negara pada Debat Umum UNGA ke-81 di New York pada Sabtu.

Tegas beliau, Malaysia dan banyak negara anggota lain telah berusaha sedaya upaya dalam menuntut keadilan untuk Gaza, termasuk secara konsisten menggesa gencatan senjata serta-merta dan penghantaran bantuan tanpa sekatan.

“Kami telah menyokong kerja-kerja kemanusiaan di Palestin. Kami telah mendesak tindakan punitif terhadap Israel. Dan kami telah memperjuangkan keanggotaan penuh Palestin di Dewan ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kehendak bersama Perhimpunan Agung berulang kali tersekat berikutan kesan pembatalan daripada kuasa veto.

“Malaysia akan bercakap secara berterus-terang: Kami sudah muak dengan keadaan ini,” katanya.

Mohamad berkata Resolusi 76/262 telah pun mewujudkan saluran kebertanggungjawaban antara Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung.

“Kita mesti memanfaatkan sepenuhnya Resolusi ini sebagai landasan ke arah kebertanggungjawaban yang lebih besar berhubung penggunaan kuasa veto,” katanya.

Beliau berkata masyarakat antarabangsa mesti memulakan usaha dari sekarang untuk melakukan pembaharuan dalam Majlis Keselamatan.

“Memperluaskan keanggotaan Majlis ini sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan kegagalannya. Kuasa veto inilah yang mesti dicabar, dan kuasa veto inilah yang mesti dihapuskan. Kita mesti memulakan usaha ini sekarang,” katanya.

Mohamad berkata masih ada masa untuk menyelamatkan orde global, sambil menegaskan kebuntuan dalam Majlis Keselamatan tidak sepatutnya membawa kepada kebuntuan PBB.

Beliau turut menekankan defisit kepercayaan yang semakin meningkat dihadapi PBB, dengan menyatakan kepercayaan hanya boleh dipulihkan melalui tindakan konkrit, termasuk memastikan undang-undang antarabangsa ditegakkan dan masyarakat di seluruh dunia terus percaya bahawa suara mereka tetap penting.

Mohamad berkata Malaysia akan terus menyokong usaha untuk mengukuhkan sistem multilateralisme dan memastikan ia dapat bertindak balas secara berkesan terhadap konflik dan krisis kemanusiaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here