
BARU-baru ini, saya telah mengetuai Kumpulan Senior dan Pengasas TVET Swasta Malaysia menganjurkan forum khas sempena Hari Kemerdekaan ke-69 dan Hari Malaysia 2026 yang bertajuk Mengimbau Sejarah: Perjuangan Pusat Latihan Kemahiran Swasta (PMKS) Mengharungi Cabaran Demi TVET Negara.
Forum yang dihadiri penyedia latihan swasta dan agensi kerajaan berkaitan pengurusan TVET itu bertujuan menceritakan bagaimana pemimpin-pemimpin senior berjuang lebih dua dekad dalam usaha memastikan survival Pusat Latihan Kemahiran Swasta (PLKS) dan menjadikan PLKS sebagai pelengkap kepada sistem latihan TVET negara.
Selain saya, tiga lagi tokoh kepimpinan TVET Swasta yang turut berkongsi pengalaman ialah Dato’ Dr. Muhamad Nasir Hamzah, Ts. P. Sailanathan dan Lam Lai Meng (bekas CEO pertama Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran-PTPK).
Saya diberikan ruang perbincangan lebih panjang berbanding panelis lain kerana keupayaan saya mengingati langkah perjalanan selama 30 tahun lalu dan terlibat secara aktif serta konsisten dalam memperjuangkan hak serta kepentingan PLKS selama tiga dekad.
Pengkisahan sejarah tertumpu kepada perjuangan PLKS dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini (selepas negara merdeka) kerana PLKS sebenarnya berkembang selepas tahun 2001 apabila diwujudkan.
Dari segi sejarahnya, kewujudan PTPK dua dekad lalu sedikit sebanyak menjadi antara penyumbang utama bermulanya peningkatan kesedaran dan minat masyarakat untuk menyertai latihan di PLKS yang sebelum itu dimonopoli sepenuhnya oleh Pusat Latihan Kemahiran Awam (PLKA).
Kesan pertumbuhan PLKS yang mendadak umpama ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ ketika itu turut mengundang pelbagai masalah sehingga menjadi antara isu dan krisis dalam negara seketika sekitar tahun 2003-2005.
Krisis yang pada mulanya hanya melibatkan soal pendanaan TVET swasta khususnya PTPK telah merebak menjadi pelbagai isu lain seperti isu-isu akreditasi, perundangan (akta), penyelarasan sistem pendidikan negara, pembangunan kualiti dan kapasiti, sehinggalah hal-hal yang berkaitan kebolehpasaran graduan serta kerjasama majikan.
Kesemua panel menjelaskan peranan masing-masing selama lebih tiga dekad membawa suara dan kepentingan PLKS yang sentiasa diuji dengan cabaran.
Banyak dikongsikan seperti isu dan krisis yang pernah berlaku sepanjang masa, penubuhan persatuan yang menaungi PLKS seperti FEMAC, membantu menstrukturkan sistem TVET negara (awam dan swasta), menjadi anggota penasihat jawatankuasa peringkat kerajaan hinggalah dipastikan wakil PLKS sebagai ahli lembaga pengarah PTPK sendiri (2005-2018)
Paling penting, peranan PLKS sangat diutamakan sehingga sebarang perancangan dan pelaksanaan dasar berkaitan TVET negara akan disertai oleh wakil PLKS. Kerjasama strategik pada masa lalu telah berjaya mengimbangi keperluan pusat latihan awam dan swasta serta mengurangkan karenah birokrasi dalam menjayakan TVET.

Ramai dalam kalangan peserta forum yang tidak mengetahui sejarah perjuangan dan jatuh bangun PLKS sejak 30 tahun lalu. Namun, selepas pencerahan diberikan, usaha ini bukan sahaja dapat memberikan pengetahuan dan pengajaran menuju masa depan tetapi juga menyuntik semula semangat PLKS yang agak goyang ketika ini.
Apa signifikannya forum mengimbau sejarah ini dalam situasi sekarang dan masa depan?
Bagi saya, usaha mencetuskan idea penganjuran forum ini bukanlah bersifat mengembalikan nostalgia dengan khayalan lama tetapi bagaimana semua pihak sama ada PLKS/PLKA serta agensi bertanggungjawab membangunkan TVET negara yang lebih baik untuk menilai apakah kita mengulangi kesilapan dan kelemahan masa lalu? Begitu juga kejayaan yang sepatutnya diteruskan dan dikembangkan. Juga mencari formula terbaik menuju masa depan dengan mengambil kira pengalaman silam
Hakikatnya hari ini, program TVET khususnya PLKS masih beterusan berada dalam keadaan tidak stabil akibat kelemahan pengurusan di peringkat kerajaan sendiri. Saban tahun berhadapan dengan isu khususnya pendanaan.
Amat menghairankan pada hari ini, isu PTPK kedengaran seperti biasa dengan perangai lintang-pukangnya akibat ‘sindrom pekeliling adhoc’. Namun keadaan semakin parah bila wujudnya isu-isu lain seperti pengenalan pelbagai latihan yang diwujudkan mengalami masalah untuk dilaksanakan, kesan kegagalan menyelaraskan program antara 12 kementerian yang terlibat dengan TVET.
Hikmah di sebalik penganjuran forum ini juga ialah kesedaran pelbagai lapisan masyarakat untuk menghantar maklum balas pelbagai isu semasa PLKS kepada saya selepas forum itu.
Antaranya soal kuota pinjaman latihan belia Sabah yang semakin membara pertikaman laporan media antara wakil-wakil rakyat Sabah dengan KESUMA.
Manakala PLKS Sarawak pula mempersoalkan pembiayaan latihan yang gagal menyertakan pinjaman saradiri.
Jika dahulu, program perantisan boleh dijalankan dengan baik tetapi kini syarat-syarat pentauliahan yang melibatkan industri tidak lagi menarik minat majikan untuk melaksanakannya terutama ketika suasana kemelesetan ekonomi yang tidak meletakkan lagi konsep Akademi Dalam Industri (ADI) untuk dilaksanakan oleh majikan seperti dahulu.
Keadaan ini diburukkan lagi apabila agensi atau kemengterian lain yang menjadi peneraju bidang TVET mengikut bidang gagal memainkan peranan untuk menjadi jambatan dan penguat kuasa kepada majikan. Saya sendiri menghadapi perkara tersebut dalam bidang pertanian dan perladangan.
Isu pendanaan dan pelaksanaan pelbagai program TVET kadangkala akan menjadi masalah juga apabila kecelaruan akibat terlalu banyak idea dalam kalangan penasihat TVET di Malaysia.
Contohnya, terdapat program yang jenamanya berbeza tetapi hakikatnya mempunyai konsep sama. Kadangkala tanpa disedari, pekeliling perturan dan kaedah pendanaan juga bertindih. Akhirnya, sebesar gunung pun bajet disediakan tidak akan mencukupi dan menepati hasrat asal sesuatu program TVET. Ada yang sudah ‘jem’ sebenarnya!
Bagaimanapun, forum ini telah membuktikan bahawa kerjasama strategik akrab dan tulus yang pernah dipadukan antara PLKS dan kerajaan sebelum ini telah berjaya merungkai sebarang isu yang timbul. Secara tidak langsung, forum ini menggambarkan bagaimana kerjasama akrab itu juga turut meletakkan wakil-wakil PLKS sebagai penasihat yang lebih berkesan kepada kerajaan dalam merancang dan menggerakkan dasar berkaitan dengan TVET.
Hari ini, ramai menganggap TVET dikelilingi terlalu ramai penasihat yang latarbelakang dan pengalaman mereka dalam bidang itu kadang-kadang menjadi tanda tanya.
Apabila diasak oleh peserta kepada panelis tentang bagaimana pula TVET PLKA? Panelis cuba mengelak tetapi di dalam hati, kami tahu apa sebenarnya berlaku yang kadang-kadang ‘disimpan di bawah karpet’.
Rumusannya, forum yang julung-julung kali diadakan ini telah berjaya membuka mata dan minda semua pihak. Pengalaman berharga berdekad ini bukanlah semudah teori yang dipelajari dalam buku atau bilik kuliah. Sehebat professor dan pemegang PHD pun belum tentu boleh melalui realiti cabaran dan perjuangan otai-otai PLKS selama ini.
Bukan tidak ramai cerdik pandai yang turut mencuba menjadi PLKS seperti mana banyaknya dulu IPTA menubuhkan anak syarikat menjadi seperti TVET swasta sebagai sumber penjanaan pendapatan mereka. Namun apabila berlakunya krisis terutama pendanaan, anak syarikat IPTA inilah antara yang tutup paling awal.
Namun, golongan cerdik pandai inilah yang semakin ramai menjadi penasihat hari ini. Agaknya, apakah kesannya? Semuanya akan tercatat dalam sejarah dulu, kini dan masa depan. Panjang umur, sejarah sedemikian akan diceritakan.
*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi





