MENTERI Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, semakan dan pemantauan setakat ini mendapati pelaporan media adalah sama rata dan seimbang terhadap semua pihak yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Sehubungan itu beliau berkata, tiada sekatan media atau had liputan dikenakan terhadap calon tertentu.
“Setakat hari ini, semakan menunjukkan laporan yang agak sama rata. Mungkin pada hari-hari tertentu ada lebih sedikit liputan kepada satu pihak, dan keesokannya lebih kepada pihak yang lain.
“Tidak ada apa-apa arahan, teguran atau permintaan. Tidak patut ada untuk mengehadkan atau mengekang calon daripada bertemu dengan media dan untuk media membuat pelaporan,” katanya kepada media di Felda Kepis Kuala Pilah hari ini.
Semalam Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua organisasi media memberikan liputan yang adil dan seimbang kepada setiap calon yang bertanding sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata, terdapat maklum balas yang diterimanya mengenai dakwaan berlakunya “blackout” media terhadap calon atau parti tertentu, selain ada laporan yang diberikan ruang terlalu kecil untuk disiarkan atau diterbitkan.
Mengulas lanjut Fahmi memberitahu, beliau turut menerima maklum balas daripada rakan media mengenai kesukaran mendekati sesetengah calon di lapangan.
Katanya, isu terbabit lebih berkaitan tahap kefahaman calon dan bukan satu bentuk sekatan rasmi.
“Kadang-kadang calon yang cuba didekati mungkin kurang fasih atau kurang faham mengenai peranan media. Itu isu berbeza, bukannya isu sekatan liputan,” katanya.






