Malaysia-China perlu perluas kerjasama industri, teroka inovasi – PM

MALAYSIA dan China perlu memperluas kerjasama strategik menerusi penerokaan inovasi serta pembangunan industri bagi menjana nilai tambah lebih besar kepada sektor perniagaan dan rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan ekonomi yang saling melengkapi antara kedua-dua negara mempunyai potensi besar untuk diteroka, melangkaui kerjasama tradisional dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Menurutnya, tumpuan juga perlu diberikan kepada usaha membangunkan bakat serta memperkukuh kerjasama industri bagi memastikan hubungan ekonomi Malaysia-China terus berkembang.

“Kedua-dua ekonomi negara mempunyai hubungan saling melengkapi yang kukuh serta potensi yang amat besar.

“Kerjasama kita juga tidak seharusnya terhad kepada perdagangan dan pelaburan tradisional semata-mata.

“Sebaliknya, kita perlu terus berganding bahu dalam meneroka inovasi, memperkukuh kerjasama industri, membangunkan bakat serta mewujudkan nilai tambah yang lebih besar kepada sektor perniagaan dan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan video sempena Persidangan Usahawan Malaysia-China Kali Ke-16 anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) di Seri Kembangan hari ini, lapor Buletin TV3.

Anwar berkata, persidangan berkenaan kini berkembang sebagai platform penting untuk mengeratkan hubungan komuniti perniagaan, meningkatkan persefahaman serta membuka peluang kerjasama baharu antara Malaysia dan China.

Beliau turut berharap persidangan itu dapat mencetuskan idea baharu dan memperluas peluang perniagaan, sekali gus merapatkan hubungan antara komuniti perniagaan kedua-dua negara.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada MCCC atas penganjuran persidangan berkenaan yang terus menyediakan ruang bagi memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia-China.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here