MAYAT seorang wanita yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan terapung tanpa pakaian di sungai berhampiran sebuah pusat beli-belah di Pekan Lama, Sungai Petani hari ini.
Mayat berkenaan dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira 48 jam berdasarkan keadaan fizikalnya yang menunjukkan tanda pereputan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan itu kira-kira jam 1.30 petang.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian dan terapung di sungai, namun tiada ikatan dikesan pada kedua-dua tangannya.
“Setakat ini, kita membuka kertas siasatan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat yang akan dijalankan esok.
“Kita belum dapat mengenal pasti identiti, umur sebenar mahu pun bangsa mangsa berikutan keadaan mayat yang sudah mengalami proses pereputan,” katanya dalam sidang media hari ini, lapor BH.
Beliau berkata, pemeriksaan luaran juga tidak dapat mengesan sebarang kecederaan dengan jelas, justeru pihaknya perlu menunggu hasil bedah siasat bagi menentukan punca kematian serta sama ada terdapat unsur jenayah.
Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk tindakan lanjut.
Dalam perkembangan sama, Hanyan berkata, pihaknya ada menerima laporan kehilangan orang dan akan membuat semakan lanjut di daerah Kuala Muda serta kawasan berhampiran bagi mengenal pasti kemungkinan kaitan dengan penemuan mayat itu.
“Kita menganggarkan mangsa berusia lingkungan 30-an ke atas, namun perkara itu masih belum dapat disahkan.
“Setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan kita juga tidak dapat menentukan sama ada mangsa warga tempatan atau warga asing,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, khususnya wanita, supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan dan proses pengecaman.





