Malaysia jadi tumpuan telekomunikasi, kerajaan kawal selia perkembangan AI

MALAYSIA semakin menjadi tumpuan dunia dalam sektor telekomunikasi dan kesalinghubungan susulan penganjuran beberapa acara industri bertaraf antarabangsa di ibu negara sepanjang minggu ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ia termasuk program bersama ZTE, Huawei dan Ericsson, selain M360 ASEAN yang akan berlangsung esok, diikuti Ministerial and Regulators Round Table.

Menurut beliau, pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi penganjuran acara berkenaan mencerminkan keyakinan pemain industri antarabangsa terhadap kedudukan Malaysia dalam ekosistem telekomunikasi serantau.

Pada masa sama, WAIC CONNECT Malaysia 2026 difahamkan menjadi acara pertama seumpamanya yang dianjurkan di luar China, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pemain antarabangsa untuk menjadikan negara ini sebagai hab pertemuan industri.

“Dalam tempoh dua tiga hari ini, Malaysia akan jadi bukan hanya tuan rumah tetapi juga tumpuan dunia bagi bidang telekomunikasi dan juga kesalinghubungan ataupun connectivity,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis WAIC CONNECT Malaysia 2026 di ibu negara, hari ini, lapor Buletin TV3.

Mengulas perkembangan kecerdasan buatan (AI), Fahmi berkata, kesalinghubungan menjadi asas penting kepada pembangunan teknologi itu, dengan akses internet perlu kekal murah, meluas dan selamat.

Namun, katanya, peningkatan penggunaan AI juga perlu disertai tahap pemahaman lebih tinggi dalam kalangan masyarakat supaya teknologi berkenaan dapat dimanfaatkan secara selamat dan berkesan.

Beliau berkata, AI tidak seharusnya dilihat sebagai pengganti tenaga manusia, termasuk wartawan, sebaliknya boleh menjadi alat untuk membantu mempercepat dan meningkatkan kecekapan kerja.

Teknologi berkenaan juga boleh dimanfaatkan dalam sektor pertanian, termasuk bagi ramalan cuaca dan menentukan musim penanaman, selain industri perfileman serta muzik.

Bagaimanapun, Fahmi berkata, satu kerangka kawal selia diperlukan, khususnya bagi menangani kebimbangan mengenai penyalahgunaan AI terhadap hak cipta, suara dan hasil karya penggiat seni.

“Ramai artis yang risau AI akan menyalahgunakan hak cipta mereka, meniru suara mereka untuk menghasilkan karya yang bukan milik mereka.

“Di samping kita menunggu akta khusus dibangunkan, pihak kerajaan termasuk melalui MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan Kementerian Komunikasi bersedia mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak untuk memastikan tidak berlaku kemudaratan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here