BN tiada pilihan di Melaka…

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka semakin ‘hangat’ diperkatakan selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ab.Rauf Jusoh memberi bayangan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan selepas dua kali Jumaat lagi.

 Kalau ikut kalendar, Jumaat minggu ini ialah 11 September manakala Jumaat seterusnya 18 September. Maknanya paling awal DUN dibubarkan ialah 19 September atau paling lewat 30 September.

 Tidak kisahlah mana-manapun tarikh yang pasti selepas dua Jumaat, Ab.Rauf sebagai Ketua Menteri perlu mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka untuk membubarkan DUN. Apabila tarikh sudah tahu, timbul pula persoalan dengan siapa BN mahu bekerjasama.

Adakah dengan Pakatan Harapan (PH) yang mereka tewaskan di Johor dan Negeri Sembilan tetapi masih menjadi sahabat setia dalam Kabinet atau meneruskan persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) khususnya dengan Pas seperti mana di Negeri Sembilan?

 Sebenarnya kalau melihat kepada kenyataan pemimpin kanan UMNO kebelakangan ini khusus Dr.Ahmad Zahid Hamidi  sudah jelas  Pas akan menjadi pilihan UMNO untuk bekerjasama. Ia memandangkan UMNO telah melihat kekuatan Pas  di Negeri Sembilan.

 Oleh itu UMNO dan BN memahami jika mereka membuat keputusan untuk bertanding solo sekaligus berhadapan dengan Pas, tidak mustahil impian mereka untuk mengekalkan 21 daripada 28 kerusi yang dimenangi pada PRN lalu tidak akan tercapai.

 Beberapa sumber memberitahu penulis, hakikatnya BN tidak ada pilihan di Melaka. Mahu tidak mahu, mereka perlu bersama dengan PN kerana senario atau gelombang penyatuan Melayu semakin kuat di negeri itu.

 Pendirian tegas ADUN Merlimau Akmal Saleh bahawa beliau tidak akan bertanding jika BN bekerjasama dengan PH bukanlah bertujuan mencari publisiti murahan atau sekadar mempertahankan prinsipnya tetapi ia bertepatan dengan senario politik semasa di Melaka.

 Atas sebab itulah dalam berhadapan PRN Melaka, BN tidak ada pilihan. Mereka mesti bekerjasama dengan PN khususnya Pas. Gelombang penyatuan Melayu  dari Negeri Sembilan kini bagaikan menanti masa untuk melimpah ke Melaka pula.

 BN boleh sahaja mendabik  dada atau berasa begitu yakin mampu menang cemerlang di Melaka seperti mana PRN lalu TETAPI percayalah 21 kerusi dalam genggaman sebelum ini belum tentu dapat dipertahankan jika bertanding solo atau cuba melawan arus penyatuan Melayu.

 Disebabkan senario inilah, bagi Pas sama ada UMNO mahu bekerjasama atau tidak, terpulang kepada UMNO, ia sama sekali tidak akan memberi kesan kepada Pas. Sebaliknya Pas bersedia turun ke gelanggang mewakili PN dengan menyerahkan kepada rakyat khususnya orang Melayu yang sebahagian sudah membuat keputusan dan hanya menanti hari mengundi saja … Jadi UMNO perlu berhati-hati.

*Awal sangat cerita siapa PM

Penulis bersetuju dengan pandangan Pengerusi BN Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa perbincangan soal kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) termasuk calon Perdana Menteri hanya akan dimulakan setelah Parlimen dibubar.

Betullah kata beliau, “Terlalu awal untuk menamakan seseorang untuk memegang jawatan itu (Perdana Menteri), ini kerana PRU masih belum diketahui bila, mungkin masih jauh atau sudah dekat. Jadi saya fikir elok kita ketepikan dahulu soal tersebut, dan berikan tumpuan kepada PRN Melaka.’

Bukan kata soal PM, soal siapa Ketua Menteri (KM) Melaka pun tak sepatutnya dibincangkan lagi selagi DUN belum dibubarkan dan pilihan raya belum diadakan. Politik Malaysia sekarang sudah menarik sebab tak semestinya kawan terus jadi kawan dan tak semestinya lawan terus jadi lawan. Yang berlaku hari ini kawan jadi lawan, lawan jadi kawan, kawan makan kawan.

Malah politik negara juga membuktikan Presiden belum tentu jadi PM, Timbalan Presiden belum pasti ganti Presiden dan Naib Presiden tidak semestinya tak layak jadi PM.

Begitulah juga dengan tanggapan Presiden tak semestinya layak jadi PM. Kena ingat kaca mata rakyat berbeza dengan kaca ahli parti. Sebab itulah kadang kala kita dapati melalui kaji selidik yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu mendapati ada individu yang tak pegang apa-apa jawatan dalam parti jadi pilihan rakyat sebagai salah seorang calon PM.

Selain itu ada keadaan di mana apabila rakyat melihat hieraki sesebuah parti, mereka merasakan ada orang lain lebih layak daripada Presiden sedia ada. Begitulah pandangan orang ramai, masing-masing ada pandangan sendiri terhadap seseorang ahli politik. Sama ada kita suka atau tidak…terpulang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here