Malaysia kutuk rancangan Israel rampas 70 peratus wilayah Gaza

MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya rancangan Israel untuk merampas kira-kira 70 peratus wilayah Gaza, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran nyata undang-undang antarabangsa dan hak rakyat Palestin.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, rancangan tersebut membuktikan niat terancang Israel untuk menafikan hak rakyat Palestin terhadap tanah air mereka.

“Tindakan itu (rampasan) menyalahi undang-undang dan sama sekali tidak boleh diterima. Ia adalah pelanggaran nyata oleh Israel terhadap undang-undang antarabangsa.

“Ia juga pelanggaran nyata Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), juga melanggar pelbagai resolusi Majlis Keselamatan PBB dan Perhimpunan Agung PBB,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Menurut Wisma Putra, Malaysia kekal bersolidariti dan menyokong sepenuhnya usaha rakyat Palestin untuk menubuhkan sebuah negara merdeka dan berdaulat yang merangkumi Tebing Barat, Gaza serta Baitulmaqdis Timur.

Katanya, Gaza merupakan sebahagian daripada wilayah Palestin yang telah wujud jauh sebelum penubuhan negara Israel dan hakikat itu tidak boleh diubah.

“Malaysia memberikan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Palestin serta terus menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa supaya bersatu dan mengambil tindakan tegas bagi membantah rancangan Israel tersebut.

Terdahulu, media antarabangsa yang memetik laporan media Israel melaporkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan tenteranya merampas kira-kira 70 peratus wilayah Gaza.

Netanyahu turut dilaporkan memberi bayangan bahawa penguasaan penuh ke atas wilayah itu mungkin dilakukan secara berperingkat.

Tindakan berkenaan dilaporkan bercanggah dengan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai antara kedua-dua pihak dengan pengantaraan oleh Amerika Syarikat selepas konflik yang memuncak pada Oktober 2025.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img