KERAJAAN bersedia mengadakan perbincangan dengan kerajaan junta Myanmar bagi meneliti mekanisme penghantaran pulang 5,000 pelarian Myanmar termasuk memastikan keselamatan mereka terjamin sebelum sebarang keputusan dilaksanakan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu sedang diperhalusi oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk proses mengenal pasti pelarian yang terbabit.
Menurut Menteri Komunikasi itu, kerajaan tidak akan menghantar pulang mana-mana pelarian sekiranya terdapat risiko mereka dizalimi atau nyawa mereka terancam sebaik kembali ke negara asal.
“Perkara ini sedang diteliti oleh Wisma Putra dan juga Kementerian Dalam Negeri yang mana 5,000 orang pelarian Myanmar ini akan dikenal pasti. Tapi semestinya Malaysia sebagai sebuah negara yang juga bertanggungjawab tidak akan menghantar pulang sekiranya 5,000 orang pelarian Myanmar ini akan sama ada dizalimi ataupun nyawa mereka akan terancam.
“Jadi ada beberapa perkara yang kita akan teliti dahulu dalam perbincangan dengan kerajaan junta di Myanmar sebelum kita laksanakan,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dimaklumkan bahawa kerajaan junta Myanmar bersedia menerima semula 5,000 pelarian berkenaan, namun kerajaan perlu meneliti terlebih dahulu kriteria penghantaran pulang itu.
Difahamkan kira-kira 190,000 pelarian dan pemohon suaka ketika ini berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dengan lebih 80 peratus daripadanya terdiri daripada etnik Rohingya dan kumpulan etnik lain dari Myanmar.
Isu kebanjiran pelarian Rohingya di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini sering menjadi perhatian umum, khususnya membabitkan dakwaan peningkatan penempatan di beberapa lokasi, persaingan mendapatkan peluang pekerjaan berpendapatan rendah, selain kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan ketenteraman awam yang dibangkitkan oleh masyarakat.






