JURUCAKAP Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan, lebih 35 Ahli Parlimen dijangka mengambil bahagian dalam sidang khas Dewan Rakyat bagi membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) yang dijadual berlangsung pada 11 Ogos depan.
Menurut beliau, Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat telah bersetuju supaya sidang khas itu diadakan secara berterusan tanpa waktu rehat bagi membolehkan lebih ramai Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, setakat ini dianggarkan antara 35 hingga 40 Ahli Parlimen sudah menyatakan kesediaan dan minat untuk membahaskan laporan RCI berkenaan.
“Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa Speaker telah bersetuju bahawa sidang ini akan diadakan secara berterusan tanpa waktu rehat.
“Pada ketika ini, dianggarkan sekurang-kurangnya 35 ke 40 orang Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan dan minat untuk membahas isu tersebut,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membincangkan laporan RCI itu bagi membuka ruang kepada penelitian menyeluruh terhadap dapatan siasatan dan hala tuju pembaharuan institusi pengurusan haji negara.
Sidang khas itu diadakan susulan keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju mengelaskan semula dan mendedahkan laporan RCI berkaitan TH kepada umum, selain meneruskan siasatan lanjut oleh badan penguat kuasa berdasarkan dapatan yang terkandung dalam laporan berkenaan.
Dokumen itu mendedahkan kedudukan kewangan TH berada dalam keadaan kritikal pada 2017.
Ia berikutan kerugian dialami institusi menguruskan simpanan dan urusan haji bagi umat Islam negara ini itu menokok kepada RM10 bilion sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan pelan pemulihan dengan kadar segera.






