Malaysia perlu bijak seimbangkan hubungan Barat, Timur – PM

MALAYSIA perlu mengurus dengan teliti tekanan geopolitik dan ekonomi global susulan kedudukannya sebagai negara dagang yang sangat terbuka serta terlibat secara aktif dalam rantaian bekalan dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan dalam perdagangan, teknologi dan geopolitik memberi kesan besar kepada Malaysia yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa.

Menurut beliau, Malaysia perlu memahami perubahan landskap global dan tidak mengambil mudah perkembangan yang boleh memberi kesan kepada kedudukan negara sebagai sebuah ekonomi perdagangan.

“Untuk sebuah negara yang hidup dengan perdagangan, seperti Malaysia, dengan kilang-kilang di tengah-tengah dunia, cip dan rantaian bekalan, ini bukan sekadar pertimbangan teori.

“Sebuah negara dagang yang naif mengenai perkara ini tidak akan kekal sebagai negara dagang untuk tempoh yang lama,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Anwar, Malaysia setakat ini berjaya mengharungi keadaan global yang tidak menentu dengan memberi tumpuan kepada ekonomi dan perdagangan antarabangsa, selain mengekalkan hubungan dengan rakan dagang dari Barat dan Timur.

Katanya, pendekatan itu membolehkan Malaysia meneruskan pertumbuhan menerusi pelaburan dan perdagangan dengan Amerika Syarikat serta Eropah, di samping memperkukuh hubungan dengan China, Korea Selatan, Jepun dan India.

“Kita mula mengemudi keseimbangan antara perkara yang baik dan buruk, termasuk mengadakan perbincangan dengan Presiden Xi Jinping tahun lalu di sini, serta perlu berurusan dengan Presiden Donald Trump,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, kedudukan Malaysia dalam ASEAN turut memberikan kelebihan dalam menghadapi perubahan geopolitik dan ekonomi serantau.

Bagaimanapun, menurut beliau, peranan Malaysia dalam ASEAN perlu melangkaui fungsi sebagai penganjur mesyuarat.

Sebaliknya, Malaysia perlu mempunyai keupayaan dan pengaruh untuk turut membentuk perkembangan serta hala tuju berterusan ASEAN.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here