Kerajaan hentikan sementara saluran MYEG, Zetrix AI susulan tunggakan RM314 juta

PERKHIDMATAN pembayaran menerusi My E.G Sdn Bhd (MYEG) dan Zetrix AI Berhad digantung mulai hari ini selepas syarikat berkenaan gagal memindahkan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM314 juta kepada Kementerian Pengangkutan (MoT).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah tersebut merupakan kutipan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026 yang masih belum disalurkan ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan MoT.

Menurut beliau, kerajaan telah memberi beberapa peluang kepada pihak terbabit untuk menyelesaikan tunggakan tersebut, termasuk mengadakan empat sesi libat urus serta mengeluarkan 35 notis peringatan.

Katanya, MYEG sebelum ini turut menyerahkan cek bertarikh 30 September 2026 berjumlah RM231 juta pada 21 Ogos lalu sebagai usaha melangsaikan jumlah tunggakan ketika itu.

Bagaimanapun, cek berkenaan tidak dapat diproses oleh pihak bank apabila tiba tarikh kredit selepas mendapat arahan daripada syarikat berkenaan.

“Walau bagaimanapun, apabila cek tersebut dikreditkan pada 30 September, iaitu beberapa hari lalu, pihak bank tidak memproses cek tersebut atas arahan pihak syarikat tersebut.

“Justeru, pihak MoT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terpaksa mengambil langkah drastik untuk menggantung perkhidmatan pembayaran menggunakan saluran MyEG dan Zetrix AI bermula 5 Oktober 2026, iaitu hari ini,” katanya.

Anthony berkata demikian pada sidang media berhubung penjelasan penggantungan perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut JPJ di MoT di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.

Beliau turut menegaskan perkhidmatan tersebut hanya akan dipertimbangkan untuk dibuka semula selepas keseluruhan tunggakan dijelaskan oleh syarikat berkenaan.

Tambahnya, kerajaan sebelum ini telah memberikan tempoh dan peluang yang mencukupi kepada MYEG serta Zetrix AI untuk menyelesaikan perkara tersebut.

“Sepatutnya tak patut ada apa-apa alasan. Sepatutnya mereka mengutip bayaran itu, dia kena bayarlah. Jadi berulang kali kita dah bagi banyak peluang, kita dah keluarkan banyak notis peringatan, mengadakan berkali-kali mesyuarat sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony menjelaskan MYEG dan Zetrix AI hanya bertindak sebagai ejen yang mengutip hasil bagi pihak kerajaan dan tidak mempunyai hak terhadap wang yang dikutip.

Beliau berkata, kutipan daripada pembayar cukai atau pemilik lesen perlu dipindahkan kepada kerajaan dalam tempoh satu hari bekerja selepas transaksi dilakukan.

“Ini tanggungjawab dan obligasi. Mereka hanya adalah ejen pemungut cukai. Ini bukan wang mereka. Ini wang pembayar cukai ataupun pembayar lesen yang mereka kutip bagi pihak JPJ. Sepatutnya mereka pindahkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa penggantungan berkenaan tidak menjejaskan pengguna yang telah membuat pembayaran melalui MYEG kerana pembaharuan lesen dilakukan serta-merta selepas transaksi selesai.

Orang ramai masih boleh mendapatkan perkhidmatan JPJ menerusi beberapa saluran lain termasuk aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kaunter serta kiosk JPJ.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here