Malaysia perlu lonjak teknologi strategik, perkukuh keselamatan siber – PM

MALAYSIA perlu melonjakkan penguasaan teknologi strategik, pada masa sama memastikan pembangunan teknologi tempatan dipacu oleh kepakaran anak tempatan serta diselarikan dengan nilai, budaya dan jati diri negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan keupayaan kriptologi negara sebagai asas penting dalam melindungi data, komunikasi strategik serta kedaulatan digital Malaysia, khususnya dalam era kecerdasan buatan dan pengkomputeran kuantum.

DATUK Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara di Putrajaya hari ini. GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Menurut beliau, perkara itu disampaikan ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang meneliti landskap ancaman keselamatan siber serta usaha memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan siber negara.

“Mesyuarat hari ini membicarakan perkembangan model AI generasi baharu (Frontier AI), termasuk Anthropic Mythos, serta implikasinya terhadap keselamatan siber negara. Perkembangan ini menuntut Malaysia bertindak lebih pantas dan strategik dalam membina keupayaan teknologi sendiri,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu turut membincangkan usaha memperkukuh perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII), meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman pasca-kuantum (PQC), serta menangani ancaman baharu termasuk penyalahgunaan teknologi AI.

“Tatkala dunia kian dipacu teknologi dan kecerdasan buatan, keselamatan siber menjadi benteng kepada kedaulatan digital, kemajuan dan daya saing negara. Keupayaan melindungi data, sistem serta infrastruktur kritikal akan menjadi antara penentu kekuatan Malaysia pada masa hadapan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img