AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura memperkukuh kerjasama strategik dan operasi bagi menangani ancaman dadah rentas sempadan menjelang pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura pada 31 Disember ini.
Kerjasama itu diterjemahkan menerusi Mesyuarat Dua Hala AADK-CNB yang berlangsung hari ini, dengan memberi tumpuan kepada koordinasi operasi serta kesiapsiagaan agensi penguatkuasaan kedua-dua negara.

Mesyuarat dipengerusikan Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, bersama delegasi CNB Singapura yang diketuai Timbalan Pengarah (Operasi), Aaron Tang.
Ruslin berkata, pembukaan RTS Link dijangka meningkatkan pergerakan rentas sempadan secara signifikan, sekali gus menuntut koordinasi dan kesiapsiagaan lebih mantap bagi memastikan persekitaran selamat serta bebas daripada ancaman dadah.
Katanya, kedua-dua agensi turut memperincikan susunan operasi, mekanisme penyelarasan pegawai serta saluran komunikasi pantas di pintu masuk utama, masing-masing di Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Chagar, Johor dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodlands North, Singapura.
“Bagi tujuan itu, AADK akan menempatkan pegawai Unit Antidadah Sempadan (UAS) di Bukit Chagar, Johor dan Woodlands North, Singapura.
“Kedua-dua agensi turut meneliti perkembangan trend baharu ancaman dadah rentas sempadan yang semakin kompleks, termasuk penggunaan teknologi dan platform dalam talian, kemunculan bahan psikoaktif baharu (NPS) serta modus operandi penyeludupan terkini,” menurut kenyataan itu.
AADK berkata, kejayaan kerjasama dua hala berkenaan bukan hanya diukur menerusi perbincangan rasmi, sebaliknya melalui tindakan susulan yang konkrit dan praktikal oleh pasukan operasi kedua-dua negara.
Agensi itu turut menegaskan komitmennya untuk memperkukuh hubungan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan serantau bagi melindungi kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara daripada ancaman penyalahgunaan serta penyeludupan dadah.





