
MANIFESTO Kekal Harapan Negeri Sembilan yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun semalam menggariskan visi besar untuk menjadikan negeri itu sebagai Pusat Koridor Pembangunan Harapan Malaysia, sekali gus muncul sebagai hab pertumbuhan ekonomi baharu negara.
Pengarah Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Datuk Dr Fuziah Salleh dan Muhammad Faiz Fadzil berkata, gagasan itu bertujuan mengubah persepsi bahawa Negeri Sembilan bukan lagi sekadar negeri yang terletak di antara Kuala Lumpur dan Melaka.

Sebaliknya, kata mereka, negeri itu akan dibangunkan sebagai pusat yang menghubungkan teknologi, logistik, industri dan pembangunan modal insan.
“Idea yang dibawa Datuk Seri Aminuddin Harun ini memberikan hala tuju yang jelas untuk meletakkan Negeri Sembilan sebagai pusat pertumbuhan baharu negara.
“Matlamatnya adalah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi supaya anak muda tidak lagi perlu berhijrah ke negeri lain untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik,” menurut kenyataan bersama mereka hari ini.

Fuziah dan Muhammad Faiz berkata, visi itu turut disokong oleh beberapa projek strategik berimpak tinggi yang terkandung dalam manifesto, termasuk pembangunan Lembah Wawasan 2.0, Lembah Semikonduktor Negeri Sembilan dan Bandar Pembuatan AI Fotonik Termaju Nilai.
Katanya, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai manifesto serta rekod pencapaian pentadbiran PH sejak 2018 melalui kod QR yang disediakan.
Dalam perkembangan lain, kedua-dua mereka memaklumkan Bilik Gerakan Utama PH masih menerima laporan berkaitan perbuatan khianat terhadap bahan-bahan kempen di beberapa kawasan.
Mereka berkata, aduan diterima daripada jentera di Labu, Sungai Lui dan Palong akan disalurkan kepada pihak berkuasa, sambil berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan pemantauan sepanjang tempoh berkempen.
“Kami menyeru semua penyokong supaya tidak terlibat dengan sebarang provokasi dan terus berkempen secara berhemah,” katanya.
Pada masa sama, mereka turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga seorang petugas jentera pilihan raya yang maut dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.
Walaupun mangsa bukan daripada jentera PH, mereka mengingatkan semua petugas pilihan raya supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan tugas serta menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan polis.






