Demokrasi lemah, Melayu berpecah jadikan negara dalam bahaya – Hadi

KEADAAN demokrasi yang lemah, di samping Melayu Islam yang berpecah serta jahil agama dan politik menjadikan negara ini dalam keadaan berbahaya untuk hilangnya kuasa politik Islam.

Sehubungan itu kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang,  keadaan itu mewajibkan langkah perpaduan umat Melayu dan bukan Islam yang tidak ekstrem.

‘’Maka, Pas terpaksa mengambil langkah politik yang berhikmah dengan mengambil teladan Rasulullah SAW yang menyatukan bangsa Arab yang keras berpecah sehingga berperang saudara, diikuti perpaduan umat masyarakat majmuk yang berada di Malaysia,’’ katanya dalam ruangan Minda Presiden hari ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Pas mencapai  persefahaman dengan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama apabila bertanding 11 kerusi manakala BN 25 kerusi. DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi.

Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, Pas menolak Melayu yang tidak istiqamah seperti PKR dan Amanah  yang bersama DAP, serta Bersatu yang menyisihkan diri daripada PN sehingga merencatkan usaha untuk  menawan Negeri Sembilan daripada PH.

‘’Langkah awal dilakukan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melalui perpaduan Melayu bagi mempertahankan Johor. Walaupun UMNO kuat di Johor dan berkuasa, mereka menyertai pilihan raya yang tidak seimbang kerana menghadapi PH yang berkuasa dalam kerajaan Persekutuan,’’ katanya.

Beliau berkata, Pas  hanya bertanding secara simbolik untuk menjadi tambahan sekiranya berlaku keadaan yang melemahkan kedudukan Melayu UMNO.

‘’Ia  laksana pasukan pertahanan perlawanan bola sepak yang tidak ada peluang untuk mendapat gol kerana sekadar menjaga gawang dan bertahan daripada serangan lawan bagi menafikan kemenangan atau mereka mendapat gol yang sedikit, namun tidak menang,’’ katanya.

Abdul Hadi berkata, ia berbeza dengan Negeri Sembilan yang dikuasai oleh PH bersama dominasi DAP yang ekstrem dan Melayu yang hanyut.

‘’Pas ikut bertanding menjadi anggota penyerang yang membahagikan kedudukan yang berstrategik bagi mengambil alih kuasa Melayu Islam bersama bukan Islam yang tidak ekstrem,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img